Murah rezeki pemandu Grab selepas sedekah RM2 dari harga tambang

Sharing is caring!

Hari tu, saya naik grab dengan anak-anak saya. Dekat saja, dari rumah ke pejabat.

Tambangnya RM7.00.

Saya pun bagi dia RM10.00 sebab tak ada duit kecil. Dia pun tak ada duit kecil.

“Akak boleh tolong saya?” dia tanya saya.

“InsyaAllah, boleh. Tolong apa?”

“Saya bagi akak RM5.00 ni. Saya tak ada duit kecil. Nanti akak tukar dekat kedai tu, dan bagi saya baki RM2.00. Boleh ke, kak?”

“Oh, boleh je. Sekejap, ya.”

“Tak apa ke ni, kak? Dengan anak-anak lagi.”

“Tak apa, boleh je. Sekejap. Nanti saya datang balik.”

“Ok.”

Saya pun terus ke kedai tu. Masuk saja dalam kedai, saya terus tak ingat langsung nak buat apa dan kenapa saya ada kat situ. Anak-anak pula biasalah, mestilah minta nak beli itu ini.

Saya pun belikan Choki Choki dan kek pisang. Semua sekali lebih kurang RM5.00. Saya pun gunakan duit RM5.00 tadi dan terus berjalan ke ofis.

Lebih kurang tiga jam kemudian, baru saya teringat pemandu grab tu tadi dan baru saya ingat kenapa saya pergi kedai tu!

Allahu akbar! Saya terlupa dia tengah tunggu saya, dan saya langsung lupa baki duit dia. Selamba saja buat belanja anak-anak. Duh…

Saya terus intai ke bawah, kereta dia dah tak ada. Mujur saya masih ada nombor dia. Saya pun terus call. Tak angkat. Call lagi. Tak angkat. Call lagi dan lagi. Tak angkat. Saya hantar Whatsapp banyak kali, tak jawab. Tinggalkan voice mail, tak balas juga. Hantar SMS, pun tak balas.

Berhari-hari jugalah saya cuba contact dia. Memang rasa bersalah sangat.

Isnin lepas, baru saya dapat cakap dengan dia.

“Sorrylah, kak. Telefon saya rosak. Hantar kedai.”

“Tak apa. Ya Allah… Akak rasa bersalah sangat ni. Sepatutnya akak kena pulangkan baki tuan hari tu. RM2.00. Masuk kedai, terus tak ingat nak buat apa. Belanja anak-anak, lepas tu selamba je terus ke ofis. Lupa sungguh akak. Minta maaf sangat, tuan.”

“Tak ada hal la, kak. Saya nampak akak rileks je berjalan naik ofis masa tu. Saya dah agak akak lupa. Alah, tak apa. Saya halalkan dah. Saya niat sedekahkan je. Kesian tengok akak dengan anak-anak.”

“Akak rasa bersalah sangat ni. Tuan bagi nombor akaun. Akak transfer.”

“Isk, tak apa, kak. Akak tau tak, lepas hantar akak tu, tu saya dapat banyak customer besar-besar. Ada yang siap booking minta saya ambil hari-hari. Balik rumah pula, tengok-tengok family saya buat surprise party birthday untuk saya. Tak pernah seumur hidup buat, tiba-tiba buat. Lepas tu hari ni, tiba-tiba abang saya pula belikan handphone baru. RM2,000 lebih tu. Memang saya tak mampu la. Haih, memang murah rezeki saya lepas tu, kak. Alhamdulillah… Berkat sedekah tu kot.”

“Allahu akbar… Laa, hari tu birthday tuan ke? Happy belated birthday, tuan. Isk, tapi akak minta maaf sangat-sangat. Akak ni kalau datang pelupa tu, memang pelupa sungguh! Haih. Rasa bersalah sangat ni.”

“Haah, birthday saya. Terima kasih, kak. Tak apa, kak. Pelupa akak tu jadi rezeki kat saya. Hehehehe…”

“Alhamdulillah. Terima kasih, tuan. Semoga Allah berkati umur tuan, murahkan rezeki tuan dan makbulkan semua impian tuan. Harap-harap tuan tak jumpa dah customer pelupa macam akak. Jenuh juga kalau asyik jumpa customer pelupa ni.”

“Hahahaha! InsyaAllah, kak. Terima kasih, ya kak.”

“Isk, akak yang kena terima kasih. Terima kasih sekali lagi, tuan.”

Begitulah lebih kurang dialognya yang akak pun dah tak ingat sangat dah. Panjang lagi cerita pemandu yang memang ramah dan banyak cerita tu. Tapi tu je yang akak ingat.

Sumber: Facebook Zuryati Isa